BENTONG – Tiga faktor utama menjadi punca berlaku kemalangan tragis sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini petang kelmarin.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Law Teik Hua berkata, reka bentuk jalan yang berbukit dan berselekoh ditambah dengan muatan yang berat menyebabkan kemalangan teruk lebih mudah berlaku.
“Walaupun di bawah selenggaraan pihak konsesi, tetapi segmen jalannya adalah lama dan tidak dinaik taraf, malah kenderaan berat pula banyak dan reka bentuk jalan tidak bagus.
“Ditambah pula pemanduan di bawah pengaruh dadah, jalan tidak elok dan muatan berat, tiga faktor ini menyebabkan kemalangan yang teruk,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, pihak berwajib sama ada berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan juga penguatkuasaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan kemalangan seperti ini tidak berulang.
“Amat mengecewakan apabila walaupun kemalangan sering berlaku di kawasan itu, namun tindakan segera tidak diambil demi keselamatan pengguna.
“Sudah sampai masanya tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pemandu yang memandu dalam pengaruh dadah kerana ia dilihat terus berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Tinggi, Ismail Che Mat berkata, laluan di antara Genting Sempah hingga ke Bukit Tinggi sememangnya ditakuti penduduk setempat kerana banyak berlaku kemalangan.
Katanya, kenderaan berat termasuk treler juga sering kelihatan memandu di kawasan berbukit itu dengan laju sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna lain.
“Kenderaan berat juga sering berhenti di tepi jalan dekat Bukit Tinggi menyebabkan ia boleh menyumbang kepada kejadian kemalangan,” katanya.














