KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang memperluaskan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, khususnya pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila secara purata satu kematian direkodkan setiap minggu atau 54 kes setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan.
Menurut beliau, kerajaan akan memperkukuh kerangka perundangan sedia ada termasuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada golongan tersebut.
“Perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 di sini hari ini.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 pekerja Malaysia di luar negara. – KOSMO! ONLINE














