fbpx
PEGAWAI kastam Indonesia menunjukkan seragam juruterbang seorang Malaysia dan dadah yang diseludup sebagai bahan bukti pada sidang akhbar di Tangerang, dekat Jakarta semalam. – AFP

Juruterbang Malaysia dicekup seludup dadah boleh dihukum mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Seorang juruterbang Malaysia yang didapati positif dadah meth, ekstasi dan kokain selepas menerbangkan pesawat penumpang ke Indonesia, boleh berdepan hukuman mati selepas didakwa menyeludup lebih 70,000 biji pil ekstasi dalam bagasinya, kata beberapa pegawai semalam.

Juruterbang berusia 39 tahun hanya dikenali dengan singkatan namanya, MSO itu  ditahan Rabu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta,  sejurus selepas tiba dari Kuala Lumpur.

Pejabat kastam lapangan terbang tidak menyatakan syarikat penerbangan mana juruterbang itu bertugas, namun nombor penerbangan menunjukkan ia pesawat Malaysia Airlines.

“Keputusan ujian air kencingnya positif untuk meth, ekstasi dan kokain. Jadi, pada masa penerbangan, dia berada di bawah pengaruh dadah,” kata pegawai kastam lapangan terbang, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang  kepada pemberita di Jakarta.

Anggota-anggota  kastam menemui 14 beg berisi lebih 70,000 pil ekstasi dalam bagasi juruterbang itu, dan empat gram meth, dipercayai untuk kegunaan peribadi di dalam dompetnya.

Hengky berkata,  juruterbang itu mungkin tidak menyangka akan diperiksa di lorong kastam khas untuk juruterbang dan kru penerbangan ‘tetapi pemantauan yang kami lakukan adalah sama’ untuk semua orang.

Dalam satu kenyataan kepada polis, lelaki itu berkata,ini kali ketiga dia cuba menyeludup dadah, kali kedua ke Indonesia dan sekali di Malaysia.

Pegawai unit jenayah narkotik polis, Awaludin Amin berkata, mereka mengesyaki juruterbang itu sebahagian daripada sindiket antarabangsa dan dia didakwa atas tuduhan menyeludup.

Di bawah undang-undang Indonesia,suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan semalam menyatakan, pihaknya menerima notis penahanan bagi seorang warga Malaysia yang ditangkap di lapangan terbang, sambil menambah, pihak kedutaan ‘menghormati’  proses perundangan Indonesia.

Terdahulu, suspek  memberitahu polis  bahawa dia dijanjikan bayaran RM50,000 untuk menghantar narkotik tersebut ke Jakarta. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN