TUMPAT – Hajat seorang pemandu lori untuk meraih upah RM250 bagi satu perjalanan membawa sebanyak 100 ekor biri-biri seludup dari Pengkalan Kubor di sini ke Johor Bahru, Johor tidak kesampaian apabila dicekup ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Neting dekat sini kelmarin.
Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam selepas anggota Pasukan Gerakan Am mengesan sebuah lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan pada bahagian belakang lori itu membawa kepada penemuan sebanyak 100 ekor biri-biri.
Katanya, anggota PGA meminta pemandu lori itu mengemukakan dokumen kebenaran untuk memindahkan haiwan ternakan.
“Semakan mendapati nombor siri pada lori itu bagaimanapun tidak sepadan dengan yang tertera di dalam dokumen dikemukakan oleh suspek.
“Dokumen tersebut didapati meragukan dan disyaki palsu. Kesemua biri-biri itu juga dipercayai haiwan ternakan yang diseludup dari Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku baru kali pertama membawa muatan haiwan ternakan sepanjang 20 tahun bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, lelaki itu memaklumkan kesemua biri-biri itu diambil di kawasan Kampung Kebun, Pengkalan Kubor di sini.
“Suspek juga dipercayai menerima upah sebanyak RM250 untuk menghantar biri-biri tersebut dari Pengkalan Kubor ke Johor Bahru,” katanya.
Tambah Ahmad Radzi, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dipandu suspek dianggarkan berjumlah RM270,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – KOSMO! ONLINE














