PASIR MAS – Kegiatan dua lelaki yang menjadikan kawasan hutan di Kampung Belukar di sini sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sejak lebih setahun lalu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu tempat tersebut semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 36 tahun itu dicekup kira-kira pukul 6.05 petang selepas anggota PGA menahan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mereka di Jalan Pintasan Pasir Mas di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA menahan kereta dan motosikal tersebut selepas mendapati kedua-dua kenderaan itu dibawa dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri ke arah hutan selepas menyedari kehadiran anggota PGA, namun mereka akhirnya berjaya ditahan.
“Pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kelisa itu menjumpai tujuh bungkusan air ketum, manakala dua lagi bungkusan sama ditemukan di dalam bakul motosikal.
“Hasil siasatan lanjut, kedua-dua suspek membawa anggota PGA ke tempat penyimpanan air ketum yang terletak kira-kira lima meter di dalam kawasan hutan berhampiran lokasi mereka dicekup,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan di dalam kawasan hutan itu menjumpai sebuah tong ais dan tiga kotak polisterin yang berisi 312 bungkusan air ketum dianggarkan bernilai RM9,360.
Menurutnya, kedua-dua lelaki yang berasal dari Kampung Beta Pohon Buluh dan Kampung Kubang Bemban di sini dipercayai mula terlibat dengan kegiatan memproses dan menjual air ketum di kawasan hutan itu sejak bulan Mac tahun lalu.
“Siasatan lanjut mendapati, bekalan daun ketum diperoleh daripada seorang lelaki yang tinggal di kawasan kampung tersebut.
“Pelanggan dipercayai datang ke kawasan hutan itu untuk membeli air ketum yang dijual pada harga RM10 sebungkus pada waktu petang,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama kesemua barangan rampasan termasuk kereta dan motosikal yang dianggarkan bernilai RM23,220 dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE














