SEPANG – Penduduk di Tiara Heights, Desa Salak Harmoni, di sini, berdepan detik cemas susulan kejadian kebakaran hutan yang berlaku berhampiran kediaman mereka, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan sekitar pukul 4.24 petang sebelum menggerakkan 18 anggota dan jentera ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan hutan berhampiran dengan perumahan penduduk yang berkeluasan anggaran 0.81 hektar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran bagaimanapun telah berjaya dikawal dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan detik-detik cemas dialami penduduk susulan kebakaran yang mengakibatkan kepulan asap tebal berhampiran kawasan kediaman mereka. – KOSMO! ONLINE














