fbpx
Antara produk sejuk beku yang dirampas dalam serbuan di Sabah, kelmarin.

Op Chiller Sabah: 21 ditahan, rampasan lebih RM24.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter – Op Chiller Briged Sabah yang dijalankan di 11 daerah di negeri itu, kelmarin.

Operasi bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan oleh Briged Sabah Pasukan Gerakan Am dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi melibatkan Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

“Sebanyak 14 serbuan berjaya dilaksanakan yang membawa kepada penahanan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun.

“Daripada jumlah itu, 19 merupakan warga tempatan terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita, manakala dua lagi ialah lelaki warga asing. Kesemua mereka didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM24,152,652.

Katanya, daripada jumlah itu, produk sejuk beku bernilai RM10,348,152.25 dirampas membabitkan pelbagai jenis makanan seperti nugget, sosej, daging import, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu.

“Turut disita ialah pelbagai aset bernilai RM13,804,500 termasuk 11 unit chiller berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk (cold room) pelbagai saiz selain beberapa kenderaan dan peralatan,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pelbagai kesalahan dikesan termasuk mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Tambah beliau, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN