SANTA CLARA – Pemain Switzerland, Miro Muheim menjadi duri dalam daging pasukannya apabila menjaringkan gol sendir pada masa kecederaan untuk menghadiahkan keputusan seri 1-1 buat Qatar dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026, sebentar tadi.
Jaringan dramatik tersebut hadir selepas Muheim diberikan tekanan oleh kapten Qatar, Boualem Khoukhi yang melonjak tinggi ketika hantaran lintang Homam Ahmed pada serangan terakhir sebelum wisel penamat ditiupkan.
Gol itu memadamkan kelebihan Switzerland yang diperoleh menerusi sepakan penalti Breel Embolo pada minit ke-17.
Switzerland sebelum itu kelihatan berada di landasan terbaik untuk membawa pulang tiga mata selepas Embolo tenang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan susulan kekasaran penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada ke atas Remo Freuler di dalam kotak penalti.
Keputusan seri itu turut menjadikan saingan Kumpulan B semakin terbuka apabila kesemua empat pasukan kini mengumpul satu mata selepas Kanada dan Bosnia and Herzegovina turut terikat 1-1 dalam satu lagi aksi kumpulan semalam.
Seterusnya, Qatar akan berdepan tuan rumah bersama, Kanada di Vancouver, manakala Switzerland bakal membuat perhitungan dengan Bosnia dan Herzegovina dalam usaha memburu kemenangan pertama di pentas Piala Dunia. – AGENSI














