PETALING JAYA – Penggemar nasi kukus berdekatan Petronas Nanding, Hulu Langat berkongsi kisah duka di media sosial apabila peniaga tersebut telah meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan pagi tadi bersama dua ahli keluarganya.
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai Izzatulnabilah, kemalangan tersebut turut mengorbankan suami dan anak bongsu pasangan terbabit.

“Bagi yang mengenali kakak nasi kukus yang niaga tepi Hari Hari (Petronas Nanding, Hulu Langat), kakak bersama suami dan anak bongsunya telah kembali kepala pencipta kita semua.
“Mereka semua terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pagi tadi. Mohon doakan semuanya dipermudahkan,” kata individu itu.
Difahamkan keluarga tersebut terlibat dalam kemalangan di sekitar kawasan Batu 18, Hulu Langat pagi tadi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna telah meninggalkan pelbagai komen dan berkongsi kisah sedih tersebut.
“Patutlah cuaca redup pagi tadi kat Langat. Al Fatihah, sehidup semati sekeluarga,” tulis Niewa07.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nieeaaaa.
“Sedihnya, saya antara pembeli nasi kukus dia. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang beriman, kesian tengok anak melambung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














