KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan siasatan dalaman berhubung insiden melibatkan Truper Abdul Hamid Talib telah selesai dan tindakan sewajarnya sudah diambil terhadap pelaku.
Menurut TDM, proses pemberhentian perkhidmatan individu terbabit kini sedang dilaksanakan mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut juga telah selesai, manakala sebarang tindakan lanjut tertakluk kepada proses perundangan.
“TDM mengambil maklum mengenai laporan media bertarikh 27 Julai 2026 berhubung dakwaan mengenai pengabaian kebajikan Truper Abdul Hamid Talib.
“TDM ingin menegaskan bahawa kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan. Sejak insiden yang berlaku pada 12 Mac lalu, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan anggota menerima rawatan perubatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh rawatan, TDM berkata Abdul Hamid menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Abdul Hamid kemudiannya dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani rawatan dan rehabilitasi lanjut.
TDM berkata, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan turut disalurkan kepada Abdul Hamid serta keluarganya sejak kejadian tersebut.
“Lawatan kebajikan turut dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan, bagi memantau perkembangan kesihatan anggota dan memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara. Ini termasuklah persediaan anggota untuk menjalani penjagaan di rumah selepas discaj nanti,” katanya.
Dalam pada itu, TDM menyeru semua pihak supaya mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti Abdul Hamid dan keluarganya.
TDM turut menegaskan pihaknya akan terus memberikan perhatian terhadap kes kebajikan anggota serta menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan ditetapkan.
Terdahulu, Abdul Hamid, 25, yang merupakan anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar, Mersing dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas dipercayai dikenakan hukuman dalam kem tentera pada 12 Mac lalu.
Kes tersebut dipercayai melibatkan dua anggota tentera sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Abdul Hamid yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah, dilaporkan tidak mampu bergerak, bergantung kepada tiub makanan serta mengalami kerosakan tempurung kepala yang terpaksa digantikan dengan plat titanium. – KOSMO! ONLINE














