Pastri bukan sekadar pencuci mulut yang cantik dipandang, malah merupakan satu seni yang menuntut kemahiran teknikal, disiplin serta ketelitian tinggi.
Di sebalik setiap hasil ciptaan, terdapat proses yang memerlukan kesabaran, latihan berterusan dan keazaman untuk memperhalusi setiap perincian.
Bagi semakin ramai anak muda di Malaysia, bidang tersebut turut berkembang sebagai satu kerjaya yang menggabungkan kreativiti, ketelitian dan cita-cita tinggi.
Atas sebab itu, Elle & Vire Professionnel Young Chef Competition 2026 diwujudkan bagi meraikan bakat-bakat baharu dengan memberi peluang kepada mereka mempamerkan kemahiran di hadapan barisan profesional pastri yang disegani dalam industri.
Pada peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Sunway Le Cordon Bleu Malaysia baru-baru ini, Yap Jing Li, 22, berjaya dinobatkan sebagai juara selepas memukau para juri menerusi kemahiran teknikal, kreativiti serta ketenangannya ketika beraksi di bawah tekanan.
Kemenangan itu bukan sahaja melayakkan dia menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan, malah peluang latihan antarabangsa.
Berkongsi dengan K-Remaja, Jing Li berkata pertandingan itu mencabarnya untuk membawa diri ke tahap yang lebih tinggi.
“Berpeluang bersaing bersama ramai chef muda yang berbakat amat memberi inspirasi dan memenangi gelaran ini merupakan satu pencapaian bermakna yang mendorong saya untuk terus belajar serta memperhalusi kemahiran pastri,” katanya.
Kini memasuki edisi kedua, pertandingan ini telah menerima lebih daripada 100 penyertaan daripada chef pastri muda berusia 16 hingga 25 tahun yang mewakili institusi kulinari, kedai pastri dan restoran di seluruh Malaysia.
Selepas melalui peringkat separuh akhir, 10 finalis terbaik berentap di pentas akhir dengan menghasilkan semula marble butter cake signatur Elle & Vire Professionnel serta mempersembahkan pencuci mulut berinspirasikan Perancis hasil ciptaan asli masing-masing.
Peserta dinilai berdasarkan kemahiran teknikal, kreativiti, rasa, persembahan serta keupayaan melaksanakan tugasan di bawah tekanan.
Di sebalik kejayaan tersebut, minat Jing Li terhadap dunia pastri sebenarnya bermula sejak zaman kanak-kanak.
Jelasnya, sejak kecil, dia memang gemar membakar kek dan pastri, namun ketika itu keluarganya tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk dirinya meneroka minat tersebut dengan lebih mendalam.
Perubahan mula berlaku beberapa tahun lalu apabila abangnya melanjutkan pengajian dalam bidang seni kulinari. Demi menyokong pengajian tersebut, keluarganya membeli pelbagai peralatan dapur dan kelengkapan membakar.
“Ketika itulah saya mula baking di rumah. Bila saya imbas kembali, banyak hasil pertama saya tidak menjadi dengan baik.
“Tetapi saya benar-benar menikmati proses mencuba, belajar daripada kesilapan dan melihat diri sendiri semakin mahir dari semasa ke semasa. Keseronokan itu yang akhirnya mencetuskan minat saya terhadap pastri,” ujarnya.
Selepas menamatkan pengajian A Levels di Singapura, gadis itu mengakui pernah berdepan fasa sukar apabila masih tercari-cari bidang yang benar-benar ingin diceburi.
Kongsi Jing Li, dia mempunyai minat terhadap pelbagai bidang, namun sukar membayangkan dirinya bekerja dalam industri-industri itu untuk tempoh yang panjang.
“Pastri adalah satu-satunya bidang yang membuatkan saya dapat membayangkan diri menikmati proses pembelajaran dan kerjaya itu sendiri.
“Ketika itulah saya sedar ia bukan lagi sekadar hobi, tetapi laluan kerjaya yang benar-benar ingin saya pilih,” katanya.
Jelasnya, individu yang paling banyak mempengaruhi perjalanan hidup dan kerjayanya ialah abang sendiri yang merupakan orang pertama dalam keluarganya memilih profesion sebagai chef.
Pada mulanya, keluarga Jing Li kurang bersetuju kerana memahami kerjaya itu bukanlah mudah. Waktu bekerja yang panjang serta pelbagai cabaran menyebabkan mereka bimbang dengan pilihan itu.
Bagaimanapun, abangnya berjaya membuktikan kesungguhan melalui kerja keras dan ketabahan sehingga akhirnya memperoleh kepercayaan keluarga.
“Apabila tiba giliran saya memilih kerjaya, abang menjadi orang yang paling banyak memberi sokongan.
“Disebabkan dia sudah membuka jalan lebih awal, keluarga lebih mudah memahami dan menerima keputusan saya untuk menceburi bidang pastri,” katanya yang merupakan pelajar Taylor’s University bagi pengajian Bachelor of Patisserie Arts.
Jing Li menyifatkan pertandingan seperti Elle & Vire Professionnel Young Chef Competition sebagai platform yang sangat bermakna kerana memberi peluang kepada chef muda membina keyakinan diri di samping terus meningkatkan kemahiran.
Hasrat untuk menyertai pertandingan itu pula sudah lama dipendam sepanjang tiga tahun pengajiannya di universiti.
“Saya sentiasa beritahu diri bahawa saya mahu menyertai sekurang-kurangnya satu pertandingan sebelum menamatkan pengajian.
“Saya melihat pertandingan sebagai antara cara paling pantas untuk berkembang kerana ia memaksa kita keluar dari zon selesa serta menguji kemahiran teknikal dan kreativiti,” katanya.
Jing Li menambah, persediaan ke pertandingan bermula dengan proses menghasilkan idea serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan resipi.
Dia meneliti profil rasa, menguji pelbagai komponen dan memperhalusi setiap resipi sehingga berpuas hati hasil yang diperoleh.
Selepas pencuci mulut dimuktamadkan, dia bersama jurulatih menyediakan semua peralatan khas yang diperlukan termasuk stensil dan pemotong yang direka khusus bagi menghasilkan pencuci mulut tersebut.

“Selepas itu, fokus saya beralih kepada pelaksanaan. Saya menyusun aliran kerja, mengurus masa dan berlatih menghasilkan keseluruhan pencuci mulut berulang kali dalam tempoh tiga jam, iaitu had masa pertandingan, sehingga semuanya dapat dilakukan secara konsisten,” katanya.
Pencuci mulut ciptaan Jing Li adalah berasaskan oren panggang dan bunga osmanthus. Namun, komponen itulah yang menjadi cabaran paling besar sepanjang proses penyediaan.
“Saya mahu aroma bunga osmanthus kekal jelas dirasai sepanjang pencuci mulut. Jika infusinya terlalu ringan, rasanya akan hilang apabila digabungkan dengan bahan seperti coklat putih dan keju mascarpone.
“Tetapi jika saya menggunakan terlalu banyak osmanthus, ia menghasilkan sensasi kering pada lidah yang tidak menyenangkan,” katanya.
Osmanthus adalah sejenis bunga yang mempunyai bau yang sangat wangi seperti lemon berasal dari Asia.
Jing Li berkata, pelbagai ujian dilakukan sebelum akhirnya berjaya menemukan keseimbangan yang membolehkan rasa bunga tersebut menyerlah tanpa menenggelamkan rasa bahan lain atau menjejaskan tekstur pencuci mulut.
Saat namanya diumumkan sebagai juara pula menjadi detik yang tidak akan dilupakan.
“Sejujurnya saya benar-benar terkejut. Apabila melihat semua finalis, saya tahu saya bersaing dengan ramai chef muda yang sangat berbakat.
“Saya amat menghormati kreativiti dan kemahiran yang ditunjukkan setiap peserta,” katanya.
Bagi Jing Li, ramai beranggapan pastri hanya bergantung kepada kreativiti semata-mata, sedangkan aspek yang sering terlepas pandang adalah ketepatan.
“Dalam pastri, setiap gram, setiap darjah suhu dan setiap minit memberi kesan kepada hasil akhir.
“Berbeza dengan masakan biasa yang masih mempunyai ruang untuk diubah ketika proses memasak berlangsung, pastri bergantung kepada konsistensi dan ketepatan.
“Bagi saya, kreativiti dan ketepatan perlu berjalan seiring kerana kedua-duanya sama penting dalam menghasilkan pencuci mulut yang berjaya,” katanya.
Mengakhiri bicara, Jing Li berkata, bekerja dengan pelbagai jenis pastri yang kompleks adakalanya menjadikan dia mahukan sesuatu yang ringkas dan ‘familiar’.
“Lazimnya apabila saya penat atau berdepan hari yang meletihkan, saya mahukan manisan ringkas seperti aiskrim. Saya suka bagaimana satu pencuci mulut yang ringkas sudah cukup untuk memuaskan keinginan saya dan mengingatkan saya mengapa saya jatuh cinta dengan pastri,” katanya.
Ditanya tentang pencuci mulut Malaysia yang mahu dihasilkan, Jing Li berkata, dia mahu bereksperimen dengan buah-buahan tempatan.
“Saya ingin menghasilkan pencuci mulut yang mewakili Malaysia menerusi kepelbagaian buah tropika tempatan kerana saya memang gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis buah dalam setiap hasil ciptaan saya.
“Malaysia dikurniakan pelbagai buahan unik yang mempunyai identiti tersendiri seperti manggis, rambutan, durian belanda dan durian. Saya ingin mentafsir semula rasa-rasa yang begitu dekat dengan masyarakat menggunakan teknik pastri moden, sekali gus hasilkan pelbagai tekstur tanpa menghilangkan keaslian rasa buah-buahan tersebut,” katanya.














