PETALING JAYA – Jemaah Menteri bersetuju supaya Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 diklasifikasikan semula dan didedahkan kepada umum hari ini, selain akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi kandungan laporan berkenaan.
Menurutnya, laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan dan sehingga kini, pihak pengurusan TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada syor yang dikemukakan.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Jemaah Menteri memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguat kuasa berdasarkan dapatan dalam laporan tersebut diteruskan serta-merta.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














