JEREZ – Pelumba Ducati, Marc Marquez kian terdesak untuk terus mencabar takhta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila ketinggalan 44 mata dengan pendahulu dari Aprilia, Marco Bezzecchi.
Pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez Ahad lalu, juara bertahan itu gagal menamatkan saingan apabila terjatuh, sekali gus meletakkan Bezzecchi terus selesa mendahului takhta kejuaraan
Bagaimanapun, Ducati tidak menunggu lama apabila terus menguji casis serta aerodinamik yang diubahsuai Isnin lalu menjelang perlumbaan akan datang pada GP Perancis di Litar Le Mans 10 Mei depan.
“Saya mula rasa lebih yakin dengan bahagian depan jentera, terutamanya ketika memasuki selekoh kiri dan itulah kekuatan saya selama ini. Dalam beberapa perlumbaan musim ini, saya agak bergelut.
“Sementara itu, kami juga menunjukkan peningkatan ketika memasuki selekoh kanan. Apa yang penting adalah kami memperbaiki kelemahan selain menambah kekuatan jentera pada sesi ujian ini,” kata Marquez.
Sementara itu, pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi mengesahkan juara dunia sembilan kali itu bergelut dengan aerodinamik pasukan, namun seorang lagi pelumba, Francesco Bagnaia masih belum menemui punca masalah.
“Kami melakukan analisis terhadap aerodinamik jentera kerana ia mampu membantu untuk meningkatkan prestasi pelumba. Marc (Marquez) gembira dengan tetapan baharu ini tetapi Pecco (Bagnaia) masih buntu,” ujarnya. – AGENSI














