HUNGARY – Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola hilang sabar dan secara terbuka ‘menghentam’ pelumbanya, Jorge Martin yang menjadi punca kemalangan di selekoh pertama Grand Prix (GP) Hungary, kelmarin.
Rivola menyifatkan kesilapan dilakukan juara dunia MotoGP 2024 itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, terutama membabitkan aspek keselamatan pelumba lain.
Pada perlumbaan berkenaan, Martin hilang kawalan ketika memasuki selekoh pertama sebelum melanggar rakan sepasukan, Marco Bezzecchi yang ketika itu berjaya melonjak ke kedudukan ketiga sejurus perlumbaan bermula.
Insiden itu turut melibatkan Fermin Aldeguer (Gresini Racing), Fabio Di Giannantonio (VR46) dan Raul Fernandez (Trackhouse), sekali gus memusnahkan harapan beberapa pelumba untuk meraih keputusan cemerlang.
“Perkara pertama yang saya fikirkan adalah keadaan pelumba dan saya bersimpati dengan mereka. Namun, kesilapan Martin tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila keselamatan menjadi pertaruhan di selekoh pertama,” kata Rivola.
.Rivola menepis dakwaan kononnya reka bentuk litar yang berbahaya menjadi punca, sebaliknya menuntut setiap pelumba agar lebih bertenang dan tidak agresif mengejar kedudukan di selekoh pertama.
“Apabila kita jatuh dan turut melibatkan jentera Aprilia yang lain, ia nampak sangat bodoh. Hakikatnya, jika anda tahu keadaan litar buruk, anda perlu lebih bertenang dan tidak mengambil risiko,” tambahnya.
Sementara itu, pelumba Ducati, Marc Marquez yang baru pulih daripada pembedahan kaki dan bahu terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba terhebat MotoGP apabila mencatat kemenangan ke-100 sepanjang karier selepas menjuarai GP Hungary. – AGENSI














