TEMERLOH – Jenayah siber kini muncul sebagai ancaman paling membimbangkan di Pahang apabila kerugian akibat pelbagai bentuk penipuan dalam talian mencecah RM30.639 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebanyak 1,300 kes penipuan siber direkodkan di seluruh negeri sehingga penghujung Mei lalu, meningkat hampir 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sehingga penghujung Mei tahun ini, sebanyak 1,300 kes dilaporkan di Pahang dengan jumlah kerugian mencecah RM30.639 juta,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Kuala Krau baharu bernilai lebih RM20 juta di sini hari ini.
Menurut Yahaya, perubahan landskap jenayah semasa memerlukan pasukan polis menyesuaikan pendekatan penguatkuasaan agar selari dengan perkembangan teknologi dan modus operandi sindiket yang semakin canggih.
Dalam perkembangan sama, Yahaya berkata, kemudahan baharu seperti Balai Polis Kuala Krau bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan polis, malah memberi keselesaan kepada masyarakat yang berurusan dengan pasukan keselamatan itu.
“Bangunan dan segala aset yang disediakan kerajaan ini bukan untuk dibanggakan, tetapi satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Balai polis berkenaan dibina bagi menggantikan bangunan lama yang cukup sinonim dengan sejarah perjuangan menentang pengganas komunis termasuk peristiwa yang dikenang sebagai ‘Subuh Berdarah’ pada 11 September 1949. – KOSMO! ONLINE






