fbpx
DUA rakan yang didakwa selepas terlibat dalam kes rompakan rantai emas bernilai lebih RM32,000 ketika diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Dua rakan mengaku tak salah rompak rantai emas lebih RM32,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan membabitkan seutas rantai leher emas bernilai lebih RM32,000, awal bulan ini.

Tertuduh, Nagorkani Basheerali, 36, yang juga warga India dan lelaki tempatan M. Sarawana, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik seorang wanita, A. Ambigavathy, 65, iaitu seutas rantai leher emas (thali) bernilai RM32,204 di hadapan sebuah pasar pagi di sini, pada pukul 10.30 pagi, 5 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan tidak menawarkan jaminan terhadap Nagorkani memandangkan tertuduh merupakan warganegara India.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau memohon jumlah jaminan yang tinggi selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam bela, Gursharonjit Kaur yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masing-masing bekerja sebagai pekerja kedai makan dan ejen hartanah merupakan pencari nafkah tunggal yang menyara keluarga.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Nagorkani selain menetapkan Sarawana diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, kedua-dua lelaki itu turut diperintah untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 8 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN