KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan Tribunal Antibuli 2026 serentak dengan penguatkuasaan rasmi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] bagi memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan akta tersebut berjaya direalisasikan dalam tempoh kurang setahun selepas diluluskan Parlimen pada Oktober tahun lalu.
Menurut beliau, keperluan kepada undang-undang khusus itu semakin mendesak susulan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah, selain memberi kesan serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi mangsa.
“Lebih 14,000 kes buli telah direkodkan. Dengan adanya tribunal ini, portal aduan dalam talian serta kemudahan prosiding yang disediakan, ia memberi mesej jelas kepada anak-anak bahawa buli bukan perkara remeh dan tindakan boleh diambil melalui saluran yang betul.
“Jika kes berlaku di sekolah, pihak sekolah perlu menyelesaikannya terlebih dahulu. Namun, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan, mereka boleh membawa kes itu ke tribunal,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tribunal bagi Antibuli di sini hari ini.
Azalina berkata, penggubalan Akta Antibuli 2026 turut mengambil kira pandangan rakyat menerusi 12 sesi libat urus di seluruh negara yang melibatkan hampir 3,000 pemegang taruh serta lebih 700 maklum balas awam.
Katanya, tribunal berkenaan diwujudkan sebagai platform akses kepada keadilan yang lebih mudah, cepat dan mesra kanak-kanak, selain mempunyai bidang kuasa sivil untuk menangani pertikaian berkaitan buli secara lebih responsif.
Menurut beliau, ibu pejabat tribunal akan beroperasi di Kuala Lumpur, namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara termasuk di sekolah, pejabat agensi berkaitan dan secara dalam talian bagi memudahkan akses kepada mangsa serta keluarga.
“Tribunal ini diterajui seorang presiden, timbalan presiden dan 56 anggota yang terdiri daripada pakar kanak-kanak, kesihatan mental, perundangan serta bidang berkaitan.
“Sekolah dan institusi pendidikan kekal sebagai barisan hadapan dalam menangani isu buli, manakala tribunal berfungsi sebagai saluran penyelesaian sekiranya aduan tidak dapat diselesaikan dengan sewajarnya di peringkat institusi,” katanya.
Beliau berkata, selain boleh mengeluarkan perintah pampasan atau permohonan maaf, tribunal juga mempunyai kuasa mengarahkan pelaku mengikuti program pemulihan bagi memutuskan kitaran buli dan mengelakkan kejadian berulang.
Tambahnya, buat masa ini Akta Antibuli 2026 terpakai kepada individu berumur 18 tahun ke bawah, namun kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop pelaksanaannya pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE.














