KUALA LUMPUR – Dituduh ‘check-in’ hotel dengan kekasih orang, pelakon muda Idan Aedan memilih untuk tidak melatah, sebaliknya menyerahkan segala urusan kepada pihak peguam bagi membersihkan namanya.
Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 21, mengakui tuduhan tersebut sedikit sebanyak membuka matanya tentang realiti dunia hiburan, namun tetap kekal profesional dalam menangani isu panas tersebut.
“Sejujurnya, ini kali pertama saya berdepan situasi seperti ini. Tetapi saya anggap ini pengalaman untuk memahami bagaimana rasanya dibenci.
“Saya tahu apa kebenaran, keluarga saya juga tahu. Walaupun ada rakaman disunting seolah-olah hanya saya berada di situ, hakikatnya keluarga saya turut ada bersama.
“Saya pilih untuk diam dan kekal profesional. Kami juga sudah serahkan perkara ini kepada peguam kerana ini melibatkan fitnah dan boleh menjejaskan nama saya dalam industri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas statusnya dengan wanita terbabit, bintang filem Abah Saya Uncle Mike itu menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan sekerja.
Malah, dia mengakui dirinya masih solo dan kini memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya.
“Hubungan kami hanya sebagai rakan. Kami rapat sebagai satu kumpulan pelakon dan saya layan semua sama sahaja.
“Saya tidak rasa perlu jelaskan lebih lanjut kerana kami semua hanya kawan.
“Saya masih solo. Sudah lama tidak bercinta. Saya fokus kerja sahaja buat masa ini,” ujarnya pada majlis pelancaran filem Kacau, di sini, malam tadi.
Enggan telalu memikirkan perkara tersebut, Idan menganggap semua yang terjadi sebagai asam garam dan sebahagian proses membina nama.
“Apa yang saya faham dalam industri ini, bila seseorang berada di tempat tertentu atau sedang melalui fasa baik, pasti ada pihak cuba mencari salah.
“Walaupun kita buat yang terbaik, tetap akan ada suara sumbang. Jadi saya terima perkara ini sebagai satu ujian dan sebahagian perjalanan saya dalam industri,” luahnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial dakwaan seorang individu kononnya teman wanitanya ‘check-in’ hotel bersama Idan sehingga menimbulkan spekulasi panas dalam kalangan netizen.
Malah, beberapa gambar serta tangkap layar turut disebarkan sehingga mencetuskan pelbagai persepsi negatif terhadap pelakon tersebut.
Dalam perkembangan lain, Idan kini giat mempromosikan filem seram Kacau arahan Muzzamer Rahman, adaptasi novel karya Ariff Adly.
Memegang watak Jimmy, Idan selesai menjalani penggambaran sekitar Februari lalu dan kini naskhah tersebut berada dalam fasa pascaproduksi sebelum ditayangkan kepada penonton. – KOSMO! ONLINE














