KUALA LUMPUR – Seramai 89 individu etnik Rohingya direkodkan terlibat dalam kes jenayah bagi tempoh 2024 hingga tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, jumlah tersebut hanya mewakili 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang direkodkan bagi tempoh berkenaan.
“Untuk tahun 2024 sehingga tahun ini cuma melibatkan sebilangan yang kecil iaitu seramai 89 orang.
“Saya khuatir jika ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menyatakan sesuatu yang negatif, namun ada juga perkara-perkara yang positif yang mungkin kita boleh kongsikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di Hotel Intercontinental, di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, masyarakat perlu memahami kedudukan sebenar dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
“Saya mohon supaya jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman dan pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kesalahan bukan sahaja daripada Myanmar ataupun Rohingya tetapi juga semua warga asing yang ada di negara ini,” ujarnya.
Mengulas dakwaan terdapat individu Rohingya yang menjadi tekong darat untuk membawa masuk warga asing dari luar negara, beliau menegaskan tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat.
“Rondaan dari masa ke semasa di perairan kita sentiasa dijalankan bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Perkara itu memang dilaksanakan secara berterusan dan jika ada maklumat-maklumat lanjut yang kita perolehi, kita akan ambil tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














