ISKANDAR PUTERI – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti dan membuat kajian segera mengenai penggunaan Modular Precast System (MPS) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan bangunan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kaedah pembinaan itu dilihat lebih efisien berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana komponen bangunan dihasilkan secara modular sebelum dipasang di tapak seperti konsep permainan Lego.
Menurut beliau, penggunaan MPS mampu mempercepatkan tempoh pembinaan selain memastikan struktur bangunan lebih berkualiti dan kukuh.
“JKR Negeri Johor perlu meneliti dan membuat kajian segera mengenai kaedah MPS bagi pembinaan bangunan. Sistem ini lebih terperinci daripada IBS dan membolehkan bangunan disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.
“Bangunan seperti rumah, sekolah dan dewan boleh dibina menggunakan kaedah ini supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan tanpa perlu menunggu terlalu lama,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Kerja Rasmi ke Pejabat JKR Negeri Johor di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak di sini hari ini.
Ahmad berkata, ketika ini jumlah pembekal MPS di negara ini masih terhad, namun sistem berkenaan telah digunakan secara meluas di Singapura yang lebih awal mengadaptasi teknologi tersebut.
Katanya, antara kementerian yang giat menggunakan MPS ketika ini ialah Kementerian Pendidikan khususnya bagi pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah yang mempunyai kepadatan murid yang tinggi.
“Melalui MPS, pembinaan satu hingga enam bilik darjah boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan.
“Ini membuktikan teknologi tersebut mampu mempercepatkan pelaksanaan projek tanpa menjejaskan kualiti pembinaan,”ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan JKR Negeri Johor kini menguruskan sebanyak 38 projek pembinaan bernilai keseluruhan RM356.6 juta yang dibiayai menerusi peruntukan kerajaan negeri.
Menurutnya, daripada jumlah itu, empat projek melibatkan pembinaan bangunan bernilai RM158.2 juta, 10 projek pembangunan jalan bernilai RM136.8 juta dan 24 projek kerja penyenggaraan dengan kos RM53.6 juta. – KOSMO! ONLINE














