DUNGUN – Waris empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Simpang Renggam, Johor Isnin lalu berhasrat memfailkan saman sivil menuntut pampasan terhadap keluarga pemandu kenderaan dipercayai berlumba hingga menyebabkan kematian.
Fauziah Abdullah, 59, berkata, nahas mengorbankan anak lelakinya, Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36; menantu perempuan, Nor Azlina Latif, 33; cucu, Nur Airish Syifa Sidek,10; dan besannya, Semek Mat Soh, 73.
Katanya, tuntutan saman itu dipersetujui semua ahli keluarganya demi keadilan buat semua mangsa terkorban.
“Saya hanya ada dua cucu, selepas kehilangan Nur Airish Syifa, kini tinggal seorang iaitu abang arwah, Syafiq Asyraf, 15.
“Saya sangat sedih kerana bukan hanya kehilangan satu-satunya cucu perempuan, malah tiga lagi ahli keluarga saya hilang sekelip mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Al Muktafi Billah Shah, di sini semalam.
Fauziah berkata, tambah menyedihkan insiden itu berlaku hanya dua minggu dia kematian suaminya, Mohd. Rashid Dolah, 59, akibat kanser usus 14 Mei lalu.
Katanya, urusan pemfailan tindakan undang-undang tersebut akan diuruskan oleh anak-anak dan menantunya.
Sementara itu, Sidek Abd Hamid, 42, bapa Nur Airish Syifa berkata, keluarga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana peguam bagi urusan
pemfailan saman tersebut.
“Setakat ini, kami belum memutuskan pelantikan peguam. Belum ada mana-mana pengamal undang-undang tampil menyatakan kesudian untuk membantu.
“Kami harap keadilan ditegakkan,” katanya.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan, empat sekeluarga maut setelah kereta Toyota Vios dinaiki terlibat dalam nahas melibatkan lima kenderaan di
Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor.
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes kemalangan tersebut.














