DUNIA pengangkutan marin sedang melalui fasa transformasi apabila teknologi elektrifikasi mula menggantikan enjin pembakaran dalaman yang digunakan selama lebih satu abad.
Jika sebelum ini, kereta elektrik menjadi simbol mobiliti masa hadapan, namun industri bot turut menyaksikan revolusi yang sama menerusi pembangunan Vision Marine V32 (V32) iaitu bot elektrik berprestasi tinggi.
Ia bukan sahaja menawarkan pelayaran tanpa pelepasan karbon, malah berjaya mencipta rekod sebagai antara bot elektrik terpantas di dunia.
Dibangunkan oleh Vision Marine Technologies dengan kerjasama Hellkat Powerboats, V32 membuktikan bahawa kuasa elektrik mampu bersaing dan mengatasi prestasi bot berenjin petrol dalam kategori tertentu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Vision Marine, Alex Mongeon, apa yang menjadikan V32 begitu luar biasa adalah gabungan kejuruteraan marin moden dengan sistem pendorongan elektrik voltan tinggi.
“Tidak seperti bot elektrik konvensional yang biasanya digunakan untuk pelayaran santai, V32 direka dari awal sebagai platform prestasi tinggi.
“Struktur badan bot menggunakan reka bentuk catamaran sepanjang 9.7 meter iaitu konfigurasi dua badan yang memberikan kestabilan lebih baik ketika memecut pada kelajuan tinggi,” katanya dalam portal Marine Industry News baru-baru ini.

Tambah Mongeon, reka bentuk V32 turut membantu mengurangkan rintangan air, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga dan membolehkan bot mencapai kelajuan melebihi 175.42 kilometer sejam ketika ujian rekod dunia di Lake of the Ozarks Shootout, Amerika Syarikat.
Nadi utama V32 adalah sistem E-Motion High Voltage Electric Powertrain, iaitu teknologi proprietari yang dibangunkan khas untuk aplikasi marin.
Berbeza dengan enjin elektrik biasa, sistem itu menggabungkan motor elektrik berkecekapan tinggi, pek bateri marin voltan tinggi, penyongsang kuasa (inverter), transmisi serta perisian kawalan pintar dalam satu platform bersepadu.
Pendekatan itu membolehkan setiap komponen berkomunikasi secara masa nyata bagi mengoptimumkan penghantaran kuasa, penggunaan tenaga dan keselamatan operasi.
Kongsi Mongeon, salah satu kelebihan utama motor elektrik adalah keupayaannya menghasilkan tork maksimum sebaik sahaja pendikit ditekan.
“Berbeza dengan enjin pembakaran dalaman yang memerlukan peningkatan putaran enjin sebelum menghasilkan kuasa optimum, motor elektrik pada V32 memberikan pecutan serta-merta.
“Ini membolehkan bot memecut dengan pantas tanpa kelewatan, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan lebih responsif dan lancar, walaupun membawa beban bateri yang besar,” ujanya.
Katanya lagi, ciri itu menjadi faktor utama kejayaan Vision Marine dalam mencatat rekod kelajuan bot elektrik dunia.
Bagi menyokong prestasi tinggi tersebut, jurutera Vision Marine turut memberi perhatian serius terhadap teknologi bateri.
Berdasarkan perkongsian Vision Marine di portal syarikat itu, pek bateri yang digunakan dibangunkan khusus untuk kegunaan marin, sekali gus mampu menahan getaran, kelembapan, air masin dan perubahan suhu ekstrem.
“Sistem pengurusan bateri atau Battery Management System (BMS) sentiasa memantau voltan setiap sel, suhu operasi serta kadar pengecasan bagi memastikan bateri beroperasi dalam keadaan optimum.
“Sekiranya berlaku sebarang keadaan luar biasa seperti suhu meningkat atau voltan tidak stabil, sistem akan bertindak secara automatik untuk melindungi keseluruhan rangkaian kuasa,” katanya.
Selain bateri, teknologi elektronik kuasa memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga digunakan secara cekap.

Penyongsang voltan tinggi bertanggungjawab menukar arus terus (DC) daripada bateri kepada arus ulang alik (AC) yang diperlukan oleh motor elektrik.
Pada masa sama, sistem kawalan elektronik mengurus penghantaran kuasa berdasarkan kelajuan, beban serta keadaan permukaan air.
Hasilnya, penggunaan tenaga menjadi lebih efisien tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan bot.
Keupayaan V32 juga dipertingkatkan menerusi penggunaan perisian pintar yang mengawal hampir keseluruhan operasi sistem pendorongan.
Ujar Mongeon, perisian proprietari memantau status motor, suhu, penggunaan tenaga, prestasi bateri serta parameter keselamatan secara berterusan.
Data yang dikumpulkan akan dipaparkan kepada pengendali melalui antara muka digital, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat masa nyata.
Pendigitalan sistem itu turut memudahkan proses diagnostik dan penyelenggaraan berbanding enjin konvensional yang mempunyai ratusan komponen mekanikal.
Dari sudut kejuruteraan mekanikal pula, Vision Marine berjaya mengurangkan jumlah komponen bergerak dengan ketara berbanding enjin petrol.
Sementara itu, motor elektrik tidak memerlukan sistem pembakaran, kotak gear yang kompleks, sistem bahan api atau minyak pelincir seperti enjin konvensional.
“Pengurangan komponen ini bukan sahaja mengurangkan kos penyelenggaraan, malah meningkatkan kebolehpercayaan sistem dalam jangka panjang.
“Operasi motor elektrik yang hampir senyap pula menghasilkan pengalaman pelayaran lebih selesa serta mengurangkan pencemaran bunyi,” tambah Mongeon.
Reka bentuk badan bot juga memainkan peranan besar dalam mencapai prestasi tinggi. Jurutera menggunakan simulasi hidrodinamik supaya aliran air di sekeliling badan bot menjadi lebih lancar.
Pengagihan berat bateri yang seimbang membantu mengekalkan pusat graviti rendah, sekali gus meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Pendekatan itu juga membolehkan V32 mengekalkan kawalan baik, biarpun bergerak pada kelajuan melebihi 100 batu nautika sejam, sesuatu yang sukar dicapai oleh kebanyakan bot elektrik lain.
Lebih menarik, pembangunan V32 bukan sekadar bertujuan memecahkan rekod dunia.
Sebaliknya Mongeon berkata, platform teknologi yang digunakan pada V32 menjadi asas kepada pembangunan pelbagai model bot elektrik komersial dan rekreasi lain.
Ini membuktikan bahawa teknologi yang dibangunkan itu bukan sekadar prototaip, bahkan ia sudah bersedia untuk diaplikasikan secara meluas dalam industri marin moden pada masa depan.














