WASHINGTON – Washington semalam mengecam tindakan ‘berbahaya dan agresif’ oleh China selepas anggota pengawal pantainya dituduh mencederakan seorang kelasi Filipina di beting yang menjadi pertikaian tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Amerika Syarikat(AS) mengecam tindakan barbahaya dan agresif China terhadap anggota tentera laut Filipina di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan semalam dan menyeru China segera menghentikan tingkah laku yang tidak stabil,” kata jurucakap Jabatan Negara Tommy Pigott dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berada di Manila hari ini untuk menghadiri sidang menteri luar bersama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Sebelum berlepas Rubio berkata, beliau terbuka kepada kemungkinan mengadakan pertemuan di luar acara rasmi dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi.
Tentera Filipina menuduh Pengawal Pantai China memukul seorang kelasi Filipina dengan baton ketika mereka menghampiri sebuah kapal terkandas yang telah lama menjadi pangkalan tentera Filipina di perairan dipertikaikan itu.
Manila berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah bot China membawa lapan lelaki mengelilingi dan merakam gambar kapal BRP Sierra Madre yang terletak di Beting Thomas Kedua, kawasan tegang di kepulauan Spratly.
Pertembungan itu berlaku selepas dua bot getah dihantar untuk menghalau kumpulan China itu, kata kenyataan Filipina.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun mahkamah antarabangsa memutuskan tuntutan Beijing tidak mempunyai asas undang-undang dan kerap bertempur dengan kapal Filipina di kawasan itu. – AFP














