REMBAU – Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila tercampak ke dalam gaung sedalam lebih empat meter di Kilometer 233 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.05 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi pada pukul 11.22 malam, mangsa seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 didapati telah berada di dalam gaung itu.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi membawa mangsa yang cedera pada bahagian kaki naik sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk dihantar ke hospital,” katanya, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














