PETALING JAYA – Tindakan berani dan selamba seorang wanita yang sedang memakai apron menangkap seekor ular bersaiz besar yang bersembunyi di bawah sebuah kereta mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Zarania_4, kejadian itu memperlihatkan wanita berkenaan dengan santai memegang dan menarik reptilia berkenaan dengan hanya menggunakan tangan tanpa sebarang peralatan dan bantuan profesional.
“Kelirunya sama ada bomba yang telefon akak itu atau pun akak itu yang telefon bomba,” katanya pada hantaran tersebut.
Apa yang lebih mencuit hati, kehadiran beberapa anggota bomba di lokasi kejadian yang dilihat hanya berdiri sambil menyaksikan aksi wanita itu mengendalikan situasi berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut terhibur dengan gelagat ditunjukkan oleh wanita tersebut yang bersahaja menangkap reptilia itu dalam keadaan sedang memakai apron.
“Ular yang sebenarnya telefon bomba minta diselamatkan daripada akak itu,” seloroh Abe__bulat.
“Akak itu mesti dah terlalu banyak benda yang dia hadap dalam hidup, sampai ular pun bukan lagi masalah terbesar dia,” kata Wadadrxs.
Bagi seorang lagi pengguna, Lokifariz, dia meluahkan rasa kagum dengan kebolehan wanita tersebut yang disifatkan lebih berani daripada lelaki apabila berdepan dengan situasi cemas.
“Jarang nak tengok ada perempuan yang berani macam ni. Terbaik kak, saya yang lelaki pun mungkin akan lari dulu lah kalau ada ular sebesar itu bawah kereta saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














