SHAH ALAM – Berang dihon menyebabkan seorang lelaki bertindak agresif apabila menetak penunggang motosikal menggunakan pisau di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Seksyen 13 di sini, hari ini.
Kejadian tular kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku ketika mangsa lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu yang dibuat oleh orang awam pada pukul 8.19 pagi.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon kepada suspek berusia 43 tahun kerana menghalang laluan.
“Suspek yang tidak berpuas hati berhenti di tepi jalan lalu menetak mangsa dengan pisau pemotong daging.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecedera di kepala dan tangan. Dia dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Menurut Sarudin, pihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














