KUALA LUMPUR – Beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan rentak konsisten pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia apabila melangkah ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua di Olympic Boulevard, Sydney sebentar tadi, bekas naib juara remaja dunia itu menewaskan beregu tuan rumah Jazmine Lam-Lim Yee Yuan menerusi keputusan straight-set 21-9, 21-18.
Beregu No.84 dunia itu mempamerkan aksi cukup dominan sejak awal permainan, terutamanya di set pertama apabila mendahului perlawanan dengan perbezaan mata cukup besar 11-3 sebelum menang 21-9.
Bersambung set kedua, perlawanan dilihat agak seimbang apabila Lam-Yee Yuan memberikan cabaran kepada Zi Yu-Noraqilah sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan tidak dibezakan dengan jurang mata cukup besar.
Bagaimanapun, sebaik mendapat mata ke-15, beregu negara sudah tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir menerusi kemenangan muktamad 21-18.
Menjelang aksi suku akhir esok, Zi Yu-Noraqilah dijadualkan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari yang menewaskan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-9, 21-12.
Sementara itu, langkah perseorangan wanita, Wong Ling Ching tersekat di pusingan kedua selepas tewas 18-21, 19-21 kepada pilihan kelapan dari Taiwan, Huang Yu Hsun dalam tempoh 38 minit. – KOSMO! ONLINE














