KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan banyak masalah ketika meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik sebentar tadi, pasangan No.5 dunia itu mencatat kemenangan 21-16, 21-12 ke atas beregu Jepun, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa.
Turun sebagai pilihan kelima kejohanan, Pearly-Thinaah pada awalnya diberikan tentangan sengit di set pertama sebelum mula menjarakkan kedudukan 14-11, seterusnya mengutip mata demi mata dan mencatat kemenangan.
Bersambung set kedua, naib juara dunia itu terus mengekalkan rentak konsisten dan selesa mendahului dengan jurang mata cukup besar 11-5, sekali gus meletakkan Hiramoto-Ishikawa dalam keadaan tertekan.
Kemudian, pasangan Jepun itu cuba untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan, namun Pearly-Thinaah kekal fokus dengan misi yang digalas dan berjaya melengkapkan kemenangan 21-12 bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Menjelang pusingan kedua esok, mereka akan menantikan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara dan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine. – KOSMO! ONLINE














