KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menunjukkan kekuatan mental cukup baik ketika bangkit melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia.
Pada aksi pusingan pertama di Olympic Boulevard, Sydney sebentar tadi, pemain No.34 dunia itu mencatat kemenangan tiga set 21-19, 19-21, 22-20 ke atas K. Aakarshi dari India dalam tempoh 75 minit.
Turun sebagai pemain pilihan, Ling Ching bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah apabila diberi tentangan sengit dalam ketiga-tiga set permainan.
Walaupun memenangi set pertama, namun momentum gagal dikekalkan ketika set kedua apabila pemain kelahiran Miri, Sarawak itu terpaksa akur tewas 19-21 sehingga perlawanan diheret ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pemain saling bertukar servis dan berbalas serangan sehingga Ling Ching berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 18-20.
Bagaimanapun, semangat juang yang ada dalam diri menjadi pemangkin buat Ling Ching untuk bangkit menyamakan kedudukan 20-20 sebelum memastikan kemenangan mutlak 22-20.
Menjelang pusingan kedua esok, anak didik Iskandar Zulkarnain Zainuddin itu dijadualkan berdepan pemain Taiwan, Huang Yu Hsun yang menyingkirkan Disha Gupta dari Amerika Syarikat (AS).
Turut melangkah ke pusingan kedua adalah tiga beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dan Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan. – KOSMO! ONLINE














