KUALA LUMPUR – Aksi separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia esok menyaksikan tidak ada lagi kelibat pemain negara selepas perseorangan lelaki, Justin Hoh dan beregu wanita, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan tersingkir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Olympic Boulevard, Sydney hari ini, Justin terpaksa akur dengan kehebatan pemain Indonesia, Moh. Zaki Ubaidillah apabila tewas straight-set 7-21, 13-21 dalam tempoh 38 minit.
Justin yang menampilkan aksi cukup baik dalam dua pusingan terdahulu dilihat tidak mampu untuk menyamai rentak permainan Zaki, terutamanya di set pertama, sekali gus membolehkan pemain lawan mendominasi perlawanan.
Aksi set kedua juga tidak menunjukkan banyak perbezaan apabila pemain lawan berjaya mengekalkan momentum dan langsung tidak memberi ruang kepada Justin untuk merapatkan kedudukan ataupun memimpin permainan.

Walaupun cuba mengejar pada penghujung perlawanan, namun jurang mata yang cukup besar meletakkan bekas juara remaja Asia itu berada dalam keadaan sukar sebelum tewas 13-21.
Sementara itu, Zi Yu-Noraqilah turut berdepan nasib sama apabila tewas 13-21, 17-21 kepada pilihan ketujuh dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam tempoh 43 minit.
Biarpun tidak dapat meneruskan kemaraan, namun aksi dipamerkan bekas naib juara remaja dunia itu boleh diberikan pujian apabila tidak mudah mengalah dan cuba memberikan tentangan sengit, terutamanya di set kedua.
Zi Yu-Noraqilah sudah pun mencipta sensasi sebelum ini apabila membenam cabaran pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu di pusingan pertama menerusi kemenangan 21-19, 13-21, 21-19. – KOSMO! ONLINE














