FOXBOROUGH – Perancis wajib mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan menjelang aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang gergasi Afrika, Maghribi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Boston awal pagi esok.
Jurulatih Les Bleus, Didier Deschamps memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan skuad The Atlas Lions itu sepanjang perlawanan tersebut.
Beliau menyifatkan kemampuan Maghribi untuk melangkah ke pusingan suku akhir sudah membuktikan bahawa skuad kendalian Mohamed Ouahbi itu merupakan salah sebuah pasukan terbaik pada kempen Piala Dunia kali ini.
Justeru, Deschamps menggesa pemain-pemainnya supaya tidak leka selain mengekalkan intensiti sama seperti perlawanan terdahulu sekiranya mahu meneruskan kemaraan dan mencapai sasaran juara yang diletakkan.
“Saya rasa semua orang sudah tahu kekuatan yang dimiliki Maghribi kerana ia dapat dilihat dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. Mereka sudah membuktikan bahawa Maghribi merupakan antara pasukan terkuat di Piala Dunia kali ini.
“Bagi saya, tidak ada pasukan yang boleh sampai ke pusingan suku akhir secara kebetulan kerana ia memerlukan kualiti serta potensi. Saya boleh lihat semua ciri-ciri itu dalam pasukan Maghribi,” katanya.
Atas kertas, kedua-dua pasukan dianggap memiliki kekuatan seimbang, namun rekod pertemuan memihak kepada Perancis apabila sudah mencatat lima kemenangan, satu kalah dan dua seri dalam lapan perlawanan.
Sementara itu, Deschamps juga sedia memanfaatkan masa rehat yang ada untuk melakukan analisis serta percaturan terbaik selain berharap anak-anak buahnya sempat cergas sepenuhnya menjelang aksi penting itu.
“Memandangkan masih ada beberapa hari sebelum perlawanan tersebut, kami perlu menggunakan masa yang ada untuk proses pemulihan kecergasan. Selepas itu, barulah kami akan buat persiapan menghadapi perlawanan itu,” ujarnya. – AGENSI














