CALIFORNIA – Sepanyol meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Los Angeles awal pagi tadi.
Pemain gantian, Mikel Merino terus menjadi ‘super-sub’ buat skuad La Roja apabila meledak gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-88 selepas menolak masuk bola hasil percubaan dilakukan pemain pertahanan, Pau Cubarsi.
Justeru, kemenangan itu meletakkan Sepanyol semakin hampir untuk mengulangi pencapaian pada edisi 2010 di mana mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum bergelar juara.
Pada perlawanan itu, Sepanyol yang merupakan juara Eropah membuka tirai jaringan menerusi Fabian Ruiz selepas dia tenang melakukan percubaan bagi menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Bagaimanapun, The Red Devils tidak menunggu lama apabila menjaringkan gol penyamaan 11 minit kemudian menerusi Charles De Ketelaere yang menanduk masuk hantaran lintang dilakukan Timothy Castagne.
Ketika aksi 90 minit dilihat bakal berakhir dengan keputusan 1-1, Merino yang masuk menggantikan Dani Olmo pada minit ke-86 hanya memerlukan dua minit untuk meledak gol kemenangan Sepanyol.
Selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, La Roja akan berdepan aksi sukar bagi memburu tempat ke final apabila bakal membuat perhitungan menentang juara edisi 1998 dan 2018, Perancis. – AGENSI















