KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa berhempas-pulas selama 61 minit sebelum berjaya melangkah ke undian utama Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2026, hari ini.
Zii Jia yang turun bersaing di pusingan kelayakan itu diuji hebat oleh wakil Jepun, Riki Takei, sebelum mencatat kemenangan 16-21, 21-17, 21-15 dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga set penentuan.
Bekas Juara Terbuka Australia 2024 itu yang kini menduduki ranking No. 64 dunia bergelut pada set pertama sebelum bangkit pada set kedua dan memenangi set ketiga 21-15.
Bagaimanapun, pemain profesional negara itu berjaya mengekalkan ketenangan bagi memastikan kemenangan menjadi miliknya sekali gus meneruskan kemaraan dalam saingan kelayakan kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Kemenangan dalam perlawanan itu mengesahkan tempat ke undian utama kejohanan dan Zii Jia bakal berdepan pemain Taiwan yang berada di ranking ke-34 dunia, Lee Chia Hao.
Kejohanan di Sydney turut menjadi pentas penting buat Zii Jia itu untuk menilai tahap kecergasannya selepas tidak beraksi pada Malaysia Masters sebelum ini.
Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara di pusingan kelayakan iaitu Eogene Ewe turut mara ke pusingan pertama selepas menewaskan wakil India, Manraj Singh menerusi kemenangan straight set, 21-11, 21-18.
Bagaimanapun, Eogene perlu bersiap sedia apabila dia akan berdepan pemain pilihan kelapan kejohanan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu. -KOSMO! ONLINE














