KUALA LUMPUR – Status bukan pilihan menjadi pembakar semangat buat pasangan beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin apabila mereka melakar kejutan menyingkirkan gandingan ranking No. 3 dunia dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Bøje pada aksi suku akhir Terbuka Jepun, hari ini.
Jimmy-Su Yin yang turun selaku gandingan ke-118 dunia mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-17 dalam masa 39 minit sekali gus
melangkah ke pentas separuh akhir kejohanan bertaraf Super 750 buat kali pertama dalam karier mereka, sekali gus meneruskan rentak cemerlang sejak digandingkan kira-kira lima kejohanan lalu.
Jimmy mengakui mereka turun ke gelanggang tanpa meletakkan sebarang tekanan, sebaliknya hanya bersabar dan percaya kepada kemampuan sendiri.
“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan prestasi kami hari ini. Kami masih dianggap ‘underdog’, jadi kami hanya perlu bersabar, jangan tergesa-gesa dan sentiasa percaya kepada diri sendiri,” katanya kepada BWF.
Su Yin menjelaskan dia langsung tidak menjangka mampu melangkah sejauh ini apabila hanya hadir dengan misi memberikan aksi terbaik.
“Saya hanya datang dengan pemikiran untuk mencuba yang terbaik. Saya tidak sangka keputusan akhirnya akan menjadi seperti ini.
“Pada perlawanan tadi kami tak perlu terlalu tergesa-gesa. Kalau tiada peluang, kami hanya fokus kepada pertahanan dahulu,” katanya.
Jimmy menjelaskan pendekatan lebih sabar itu menjadi kunci utama kerana lawan memiliki pengalaman dan kelebihan dari segi taktikal.
Mengulas aksi suku akhir Super 750 pertama dalam kariernya, Jimmy mengakui perasaan gementar tetap ada sebelum perlawanan.
“Sudah tentu saya gugup kerana ini kali pertama. Tetapi kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain supaya kekal tenang, bersabar dan percaya kepada diri sendiri.
“Apapun, mereka masih pasangan terbaik dunia dan kami masih jauh di belakang. Mereka lebih berpengalaman, manakala kami masih baru. Masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya. -KOSMO! ONLINE














