HASRAT skuad badminton wanita negara untuk melakar kejutan ke atas Jepun dalam aksi Kumpulan B saingan Piala Uber 2026 malam kelmarin tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kekalahan 1-4.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Forum Horsens, Denmark itu, Malaysia tidak tewas mudah apabila pemain-pemain negara mempamerkan semangat juang cukup tinggi dalam setiap perlawanan.
Paling mencuri tumpuan adalah gandingan beregu wanita remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang berjaya menyumbang mata tunggal selepas menewaskan pasangan No.7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky tetap memberikan pujian kepada barisan pemain negara yang masih mampu memberikan tentangan meskipun tanpa kehadiran pemain-pemain ternama.
“Saya berikan kredit atas semangat juang yang dipamerkan skuad Piala Uber kerana berjaya membuktikan bahawa mereka masih dapat menyajikan satu perlawanan cukup baik tanpa pemain ternama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Biarpun tewas, namun Malaysia sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir selepas mencatat kemenangan ke atas Turkiye dan Afrika Selatan sebelum ini, namun kekalahan kepada Jepun menyaksikan pasukan negara menjadi naib juara kumpulan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai aksi cemerlang yang dipamerkan Zi Yu-Noraqilah pada perlawanan tersebut, Rexy berharap kedua-dua pemain berkenaan tidak mudah berpuas hati.
“Saya tidak mahu memuji terlalu banyak, hanya berikan sokongan serta motivasi kepada mereka untuk lebih bersemangat. Saya juga tidak mahu mereka cepat berasa puas hati dengan prestasi ini,” ujarnya.














