PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 73 individu terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an telah ditahan pada Selasa lalu di pejabat SPRM seluruh negara kecuali Perlis.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.
“Kesemua suspek dipercayai telah membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya hari ini.
Pada 9 Jun 2026 SPRM melalui Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan SPRM Negeri dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menjalankan operasi bersepadu.
Melalui operasi tersebut, penggeledahan telah dijalankan di 90 buah lokasi melibatkan premis-premis syarikat dan telah menahan seramai 83 individu yang terdiri daripada enam orang ejen dan 77 pemilik syarikat.
Risikan yang dijalankan sejak November tahun lalu menyasarkan 143 premis syarikat seluruh negara dengan 320 individu yang dikaitkan dengan tuntutan tersebut.
Kata sumber, melalui operasi tersebut juga SPRM telah merakam 104 percakapan yang melibatkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.
“Melalui operasi ini juga SPRM telah membekukan sebanyak 25 akaun bank syarikat dengan jumlah kira-kira RM390,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, siasatan masih berjalan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














