PETALING JAYA – Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur ke-8 (KLIP 8), yang telah berlangsung selama dua hari bermula 8 Jun lalu telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari Malaysia, ASEAN dan seluruh dunia yang mewakili syarikat multi nasional, kementerian kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi media, universiti dan persatuan perhubungan awam serantau.
Dianjurkan oleh World Communications, persidangan ini menghimpunkan pakar global dan Asia Pasifik daripada Global Alliance for Public Relations and Communication Management, ASEAN PR Network, IPRM (Institute PR Malaysia), PERHUMAS (Indonesia), PRSP (Filipina), PRPA (Hong Kong), LSPR (London School of PR), MACE (Malaysian Association of Communication Educators) serta institusi terkemuka lain di rantau ini.
Pengarah Urusan World Communications, Jaffri Amin Osman berkata, trend yang sedang membentuk profesion komunikasi hari ini amat jelas, iaitu komunikasi dipacu kecerdasan buatan (AI), pengurusan isu secara ramalan, tindak balas krisis masa nyata dan kepercayaan sebagai mata wang paling bernilai.

Menurut beliau, KLIP diwujudkan untuk membantu pengamal komunikasi menyesuaikan diri dengan realiti baharu ini secara lebih jelas dan yakin.
“Ketika Malaysia dan ASEAN melangkah ke masa depan yang dipercepatkan oleh AI, pemimpin komunikasi perlu berkembang daripada sekadar pencerita kepada penasihat strategik yang membimbing organisasi dengan wawasan, integriti dan tujuan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata dalam kenyataan bersempena pelancaran KLIP 8 yang telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di sini baru-baru ini.
Tema tahun ini adalah Zero Hour: The Trust Crisis – PR in an AI-Driven World yang memberi tumpuan terhadap salah satu cabaran paling mendesak yang dihadapi oleh pengamal komunikasi masa kini, iaitu membina semula kepercayaan dalam era yang dicemari maklumat palsu, manipulasi digital dan perkembangan pesat A).
Selain itu, Nie Ching dalam ucaputamanya, menegaskan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus digital, akauntabiliti platform dan keselamatan dalam talian.
Beliau berkata, masa depan digital Malaysia mesti dibina berasaskan kepercayaan terhadap maklumat, platform dan keyakinan bahawa teknologi berfungsi untuk manfaat rakyat, bukannya memudaratkan mereka.
“Apabila AI dan platform digital terus berkembang, tanggungjawab bersama adalah memastikan tadbir urus yang kukuh, akauntabiliti platform serta perlindungan terhadap kanak-kanak dan komuniti.
“Teknologi bukanlah masalah sebenar, tetapi risiko timbul apabila sistem yang berkuasa beroperasi tanpa ketelusan dan perlindungan etika yang mencukupi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan literasi digital serta melabur dalam keupayaan AI berdaulat bagi memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.

Mesej Menteri tersebut menjadi asas kepada perbincangan mendalam yang berfokuskan masa depan mengenai AI, maklumat palsu, kepimpinan krisis dan tanggungjawab baharu pengamal komunikasi. Penceramah antarabangsa dari Australia, Korea Selatan, New Zealand, Singapura, Indonesia dan Hong Kong turut berkongsi pandangan mengenai transformasi dipacu AI, komunikasi krisis, tadbir urus digital dan masa depan media.
Dalam pada itu, Jurulatih Kepimpinan Eksekutif dan bekas Pengerusi IABC Global, Adrian Cropley, menjelaskan bagaimana AI sedang mengubah kaedah pengukuran impak komunikasi.
Terang beliau, sepanjang penglibatannya dalam profesion ini, komunikasi sentiasa mencipta nilai luar biasa yang sukar diukur seperti pengaruh, kepercayaan dan naratif yang membentuk persepsi terhadap organisasi.
Namun, menurut Cropley, AI kini membantu menjadikan aspek yang sebelum ini dianggap tidak ketara kepada impak yang boleh diukur. AI menghubungkan pengaruh, kepercayaan dan penceritaan kepada pertumbuhan jenama yang sebenar.
Sementara itu, mewakili ASEAN PR Network, Ibu Prita Kemal Gani menegaskan, peranan KLIP sebagai platform penyatuan pemimpin komunikasi serantau.
Beliau berkata, ASEAN PR Network dan ahlinya telah menjadi sebahagian daripada KLIP sejak 2019 dan persidangan itu secara konsisten menyampaikan kandungan bertaraf dunia yang relevan, menarik serta berpandangan jauh.
Beliau turut memuji visi dan kepakaran industri yang dimiliki Jaffri Amin Osman yang menurutnya terus menjadi penanda aras penting bagi profesion komunikasi di ASEAN dan Asia Pasifik.
Peserta KLIP 8 terdiri daripada wakil Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sarawak Energy, Bernama, Pejabat Perdana Menteri, Astro, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan, Amanah Raya, Kementerian Kewangan, Petronas, Gamuda Land, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Johor Land, universiti awam dan swasta di Malaysia, LSPR Institute of Communication and Business, ASEAN PR Network, IPRM, Perhumas, Jabatan Penerangan Malaysia, Public Relations Society of the Philippines serta Public Relations Professional Association (Hong Kong).
Penyertaan tersebut mencerminkan pengaruh KLIP yang semakin berkembang sebagai hab serantau bagi komunikasi strategik, tadbir urus digital dan transformasi berasaskan AI.
Sejak 2019, Kuala Lumpur International PR Conference telah menjadi platform utama bagi pemimpin komunikasi global dan serantau untuk bertukar pandangan, memperkukuh standard profesional serta membentuk masa depan perhubungan awam di Malaysia, ASEAN dan rantau Asia Pasifik.
Ketika landskap komunikasi sedang melalui perubahan paling besar dalam beberapa dekad, kepentingan KLIP semakin terserlah.
Apa yang bermula sebagai platform Malaysia kini berkembang menjadi titik tumpuan serantau bagi dialog global, tempat para pengamal, pembuat dasar dan pemimpin industri membincangkan realiti AI, membina semula kepercayaan dalam ekosistem maklumat yang semakin mencabar serta membentuk masa depan komunikasi strategik secara bersama.
KLIP terus berada di persimpangan teknologi, tadbir urus dan wawasan manusia, memastikan Malaysia dan ASEAN bukan sahaja menjadi peserta dalam perbualan global, malah turut memimpin dalam menentukan hala tuju masa depan komunikasi. -KOSMO! ONLINE














