IPOH – Daerah Manjung yang pesat membangun dengan industri pembinaan dan maritim dipercayai mempunyai etnik Rohingya paling ramai di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebanyakan mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Bagaimanapun, kita pun tak pasti keaslian dia sebab bilangan terlalu ramai tetapi perkara ini dalam pemantauan.
“Kita juga mengambil maklum perkara itu menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta keluh-kesah dalam kalangan orang tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026M di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah sebenar etnik itu di Perak terutamanya Manjung.
Katanya, peningkatan jumlah etnik berasal dari barat Myanmar tersebut secara tidak langsung boleh memberikan implikasi kepada rakyat tempatan termasuk perihal keselamatan.
Jelasnya, kesemua mereka kini dalam ‘radar’ dan pemantauan agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE














