fbpx
Gambar yang dikongsi Mohamad di laman Facebooknya.

Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama penyelidikan padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia dan Uzbekistan akan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan industri padi menerusi perkongsian teknologi, kepakaran serta inovasi bagi meningkatkan keselamatan makanan kedua-dua negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama lebih erat antara institusi penyelidikan Malaysia dan Uzbekistan mampu memberi manfaat besar kepada petani selain membantu menjamin bekalan makanan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan ketika lawatan rasmi beliau ke Rice Research Institute (RRI) di Tashkent, Uzbekistan bagi meninjau perkembangan penyelidikan dan inovasi dalam industri padi negara berkenaan.

“Lawatan ini membuka ruang untuk kedua-dua negara memperkukuhkan hubungan teknikal dalam bidang penyelidikan padi.

“Saya percaya kerjasama yang lebih rapat antara institusi penyelidikan Malaysia dan Uzbekistan mampu memberikan manfaat besar kepada para petani selain membantu memperkukuhkan jaminan bekalan makanan dan kesejahteraan generasi akan datang di kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu katanya, beliau dan delegasi Malaysia telah disambut oleh Pengarah RRI Uzbekistan, Shodmon Nomozov bersama penyelidik dan pegawai institut berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia sentiasa memberi perhatian khusus kepada sektor padi dan beras kerana ia merupakan makanan ruji rakyat serta komoditi strategik yang penting kepada negara.

Terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, kekangan sumber dan peningkatan permintaan makanan, usaha memperkukuhkan industri padi perlu dipertingkatkan secara berterusan.

Malah kata beliau, Malaysia menerusi pelbagai institusi penyelidikan pertanian dan universiti tempatan telah membangunkan kepakaran dalam bidang pembiakbakaan padi, pembangunan benih, pengurusan penyakit dan perosak, pertanian tepat serta teknologi pascatuai.

“Semua usaha ini bertujuan meningkatkan daya tahan dan produktiviti industri padi negara.

“Saya berharap lebih banyak peluang dapat diteroka melalui pertukaran penyelidik, kajian bersama serta perkongsian pengetahuan dan teknologi antara Malaysia dan Uzbekistan pada masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN