BALATON PARK – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo semakin kecewa dengan perkembangan projek enjin V4 yang masih belum menunjukkan peningkatan prestasi seperti diharapkan.
Juara dunia MotoGP 2021 itu mengakui jentera baharu Yamaha masih mempunyai banyak kelemahan meskipun sudah hampir setahun dibangunkan sejak kali pertama diuji pada September tahun lalu.
Menurut pelumba Perancis itu, dia menjangkakan peningkatan ketara daripada prototaip awal, namun prestasi motosikal berkenaan masih berada pada tahap yang hampir sama.
“Saya tidak gembira dengan cara kami meningkatkan prestasi jentera ini. Bermula prototaip pertama sehingga sekarang, saya menjangkakan satu langkah besar ke hadapan, tetapi kami masih berada di tahap yang sama,” katanya.
Quartararo berkata, Yamaha masih bergelut dalam beberapa aspek penting termasuk cengkaman tayar, keupayaan membelok, kelajuan maksimum, pecutan dan aerodinamik.
Quartararo turut mengakui tidak melihat sebarang perubahan besar akan berlaku dalam masa terdekat memandangkan Yamaha kini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan jentera baharu berkapasiti 850cc untuk musim depan.
Meskipun kecewa dengan perkembangan semasa, Quartararo menegaskan hubungan baiknya bersama pengeluar Jepun itu tidak akan terjejas.
Masa depan pelumba berusia 27 tahun itu dijangka berubah pada musim 2027 apabila beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Honda, manakala tempatnya di Yamaha dipercayai bakal diisi juara dunia, Jorge Martin. – AGENSI














