KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif menjaga kebajikan pekerja p-hailing menerusi penyediaan ‘Hab P-Hailing @ D’Tebing Recharge Rider’ di Pusat Penjaja D’Tebing, Bulatan Dato’ Onn, di sini.
Perkembangan tersebut dimaklumkan menerusi lawatan dan perasmian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, hari ini.
Pelaksanaan hab itu beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan golongan pekerja gig mendapat kemudahan yang selesa, selamat dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Fadlun berkata, komuniti penghantar p-hailing merupakan antara golongan penting kepada kelancaran ekonomi negara yang membantu memastikan perkhidmatan penghantaran dilaksanakan dengan lancar setiap hari.
“Penyediaan infrastruktur khas ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira cuaca dan waktu.
“Pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal tetapi juga memastikan golongan yang menyumbang turut menikmati kemudahan asas seperti surau, tandas awam, serta ruang menunggu pesanan yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.
Sementara itu, Hannah juga menjelaskan kewujudan hab tersebut amat penting bagi menangani isu keselamatan jalan raya, khususnya bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat gejala ‘micro-sleep’.
“Golongan yang menunggang motosikal atau memandu kereta berisiko berdepan kemalangan akibat ‘micro-sleep’ kerana ada dalam kalangan rider ini yang bekerja sehingga 12 jam sehari. Oleh itu, tempat ini disediakan untuk mereka berehat sama ada mahu cas telefon atau ‘recharge’ diri sendiri sebelum kembali bekerja.
“Saya tidak mahu lagi melihat situasi di Kuala Lumpur di mana rider terpaksa menunggu pesanan di tepi jalan. Kita mahu menghidupkan semula ruang-ruang kosong seperti ini untuk dikongsikan bersama warga rider agar mereka dilayan dengan baik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan hab eksklusif tersebut dibuka khusus untuk kegunaan semua rider tanpa mengira apa-apa jenama syarikat perkhidmatan dan bukannya untuk orang awam.
“Orang awam tidak dibenarkan menggunakan port mengecas telefon di sini, namun mereka dialu-alukan untuk makan di enam premis food court berhampiran yang turut menempatkan lot kopi serta bakal menawarkan Menu Rahmah pada harga berpatutan.
“Pihak kami bersama Khazanah Nasional akan memantau rapat penggunaan hab ini menerusi mesyuarat berkala bagi menghidupkan tapak warisan termasuk laluan pejalan kaki River of Life. Sekiranya projek ini mendapat permintaan tinggi, kita akan memperluas ke tempat-tempat lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE














