BARCELONA – Juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir memberi amaran kepada pasukan Honda supaya tidak terlalu cepat berpuas hati selepas prestasi positif pada Grand Prix (GP) Catalunya kerana keputusan seumpama itu sukar diulang secara konsisten.
Mir menegaskan pencapaian tersebut tidak boleh dijadikan penanda aras ketika ini kerana dia terpaksa menunggang jentera Honda hampir melepasi had kemampuan sebenar untuk kekal bersaing di kelompok hadapan.
Pada perlumbaan 12 pusingan itu, Mir menamatkan perlumbaan di tempat kedua, namun keputusan tersebut akhirnya dibatalkan selepas dia dikenakan penalti 16 saat susulan pelanggaran peraturan tekanan tayar.
Walaupun podium itu dilucutkan, pencapaian berkenaan tetap menjadi petanda positif apabila Mir dan Honda buat pertama kali musim ini berjaya mencabar kelompok tiga terbaik.
Bagaimanapun, Mir mengakui pendekatan agresif seperti itu bukan sesuatu yang boleh dijadikan formula tetap sepanjang musim.
“Inilah yang saya cari sejak lima pusingan pertama musim ini. Namun, seperti yang anda lihat, saya terpaksa menunggang hampir pada had sebenar. Anda tidak boleh mencabar podium pada setiap perlumbaan jika perlu menunggang seperti ini.
“Anda mungkin boleh bersaing untuk kelompok enam atau tujuh terbaik, tetapi untuk merebut podium bersama pelumba-pelumba ini, anda perlukan sesuatu yang lebih,” katanya selepas perlumbaan.
Menurut Mir, Honda masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki sekiranya mahu menjadi pencabar podium secara konsisten. – AGENSI














