fbpx
Gambar hiasan.

PACE RM710 juta perkasa pekerja, perkukuh pasaran buruh – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 atau Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh kebolehgajian pekerja serta memastikan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dilaksanakan ketika kadar pengangguran negara berada pada tahap 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.

“Namun begitu, kita tidak boleh leka dan perlu proaktif dan bersiapsiaga. Terutamanya dalam era teknologi cepat berubah.

“Kita perlu dapat membantu pekerja terus berdaya saing dan bagi yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu seiring dengan permintaan dan keperluan industri terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan PACE memberi fokus kepada empat inisiatif utama.

Katanya, inisiatif pertama melibatkan kesiapsiagaan perlindungan sosial menerusi pengukuhan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan dana melebihi RM580 juta bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan serta meningkatkan peluang pekerjaan semula.

“Inisiatif kedua adalah pemerkasaan latihan dan penempatan kerja dengan peruntukan RM100 juta melalui HRD Corp di bawah program HRD Yakin Madani, disokong MyFutureJobs untuk memudah cara penempatan pekerjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengupayaan pekerja gig menerusi peruntukan RM20 juta melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi meningkatkan kemahiran serta perlindungan sosial golongan tersebut.

“Bagi pemantapan bakat muda dan ketahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) . Kita akan menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong perusahaan PMKS serta syarikat pemula yang mengambil pelatih industri.

“Inisiatif ini akan dibiayai oleh TalentCorp dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN