PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6.9 peratus kepada RM17.31 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disokong oleh prestasi yang bertambah baik merentasi semua segmen perniagaan.
Kumpulan turut mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM653.88 juta, meningkat daripada RM247.39 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Peningkatan ini merangkumi pengiktirafan nilai muhibah negatif (negative goodwill) berjumlah RM334.42 juta, hasil daripada pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd.), di samping sumbangan lebih kukuh daripada Proton serta segmen Perbankan dan Hartanah.
Menurutnya dalam satu kenyataan, bagi prospek tahun ini, perkembangan ekonomi Malaysia dijangka berterusan walaupun persekitaran global kekal tidak menentu berikutan potensi peningkatan tarif, ketegangan geopolitik serta peningkatan volatiliti pasaran kewangan.
“Selepas mencapai rekod baharu jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 820,752 unit pada 2025, Persatuan Automotif Malaysia menjangkakan TIV akan menyusut kepada 790,000 unit pada 2026, mencerminkan proses normalisasi selepas dua tahun berturut-turut mencatat rekod melebihi 800,000 unit.
“Proton memasuki 2026 dengan momentum kukuh di mana Proton e.MAS 7 muncul sebagai kenderaan elektrik paling laris di Malaysia, manakala Saga serba baharu terus menjadi barisan model paling laris syarikat.
“Penyempurnaan pengambilalihan CTRM AeroSystems akan terus mengukuhkan segmen Mobiliti Kumpulan dan memperteguhkan kedudukannya sebagai pembekal Tier1 dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.
“Kumpulan terus memperkukuh agenda pendigitalannya, meningkatkan kecekapan operasi serta memacu prestasi di semua segmen bagi membina asas yang lebih teguh, sekali gus memperkasakan pertumbuhan mampan dan membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














