PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sarawak, Sabah malam ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan yang terlibat adalah Kedah (Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Lipis dan Jerantut),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Samarahan (Simunjan), Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Bintulu dan Sebauh) dan Miri (Subis dan Beluru).
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Tongod, Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Cuaca buruk turut dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














