PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga 12 tengah hari ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terjejas di Semenanjung ialah Melaka dan Johor (Tangkak, Muar dan Batu Pahat).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Miri (Subis dan Miri) di Sarawak,” katanya.
Selain itu, cuaca buruk turut dijangka melanda Pedalaman (Kuala Penyu) dan Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna).
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.-KOSMO! ONLINE.















