PETALING JAYA – Rata-rata warga kota mula mengeluh kerana ketiadaan peniaga makanan dari Kelantan yang pulang bercuti ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Faizmokh, dia berseloroh merayu supaya warga Kelantan pulang ke ibu kota kerana masakan mereka tiada tandingannya.
“Orang Kelantan baliklah Kuala Lumpur semula. Saya lapar,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut bersetuju terhadap kesukaran untuk mencari makanan yang menepati selera mereka sepanjang musim perayaan ini.
“Dah lapar baru nak cari Kelantan,” ujar Fluvveryx.
“Menggelupur aku tak makan tomyam lagi minggu ini. Setitik tomyam pun jadi lah, balik lah,” kata Jeyrian.co pula.
“Tolong balik, saya rindu sangat dah kat nasi kerabu,” kata Miss_Aimis. – KOSMO! ONLINE














