fbpx
MSB Group

MSB Global catat pendapatan RM12.75 juta suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – MSB Global Group Berhad (MSB Global), pemain utama dalam industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran Malaysia, mencatatkan pendapatan sebanyak RM12.75 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.98 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (Suku 1 TK2026), berbanding pendapatan sebanyak RM13.83 juta dan PAT sebanyak RM1.51 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo berkata, ini adalah prestasi yang  berdaya tahan di tengah-tengah trend pesanan pelanggan yang lebih perlahan dan persekitaran operasi yang lebih kompetitif.

Menurut beliau, segmen alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran mencatatkan pendapatan sebanyak RM8.09 juta pada suku tersebut, penurunan sebanyak 15.46 peratus berbanding RM9.57 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.

Bagaimanapun, penurunan ini sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen pelincir dan bendalir automotif, yang meningkat kepada RM4.66 juta daripada RM4.21 juta sebelumnya, mencerminkan peningkatan sumbangan daripada produk berkaitan pelincir dengan margin yang lebih tinggi.

“Kumpulan terus menunjukkan daya tahan operasi sepanjang suku tersebut. Yang penting, kami terus mengukuhkan kedudukan operasi kami melalui pengurusan kos yang lebih ketat, kecairan yang lebih sihat dan inisiatif strategik terpilih yang menyokong hala tuju pertumbuhan jangka panjang kami.”

“Segmen pelincir dan bendalir terus menunjukkan daya tahan yang menggalakkan sepanjang suku tersebut, disokong oleh sumbangan jualan yang lebih tinggi daripada segmen tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kee Foo menerangkan, meskipun pendapatan sederhana, MSB Global kekal menguntungkan dan menjana tunai secara operasi pada suku tersebut.

Jelas beliau, tunai bersih yang dijana daripada aktiviti operasi meningkat dengan ketara kepada RM1.98 juta, berbanding RM0.65 juta pada suku yang sama sebelumnya, disokong oleh pengurusan modal kerja yang berdisiplin dan tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi.

Selain itu, mengulas mengenai hala tuju masa depan, beliau berkata, keadaan pasaran dijangka kekal kompetitif di tengah-tengah trend perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan, sehubungan itu, MSB Global percaya industri selepas pasaran automotif akan terus mendapat manfaat daripada permintaan penyelenggaraan kenderaan berulang dan populasi kenderaan Malaysia yang stabil. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN