SANTA CRUZ, CALIFORNIA – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila tercampak ke dalam laut selepas bot dinaiki mereka dilambung ombak besar di sebuah pantai di negeri California, lapor akhbar Mirror UK.
Kejadian berlaku di West Cliff Drive, bandar Santa Cruz.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram menunjukkan bot dinaiki enam sekeluarga itu bergerak ke arah ombak besar yang datang menghampiri mereka sebelum ia terbalik.
Pelanggaran yang kuat menyebabkan keluarga itu termasuk empat orang kanak-kanak tercampak ke dalam laut.
Sekumpulan peluncur termasuk tiga kali juara pertandingan Mavericks, Darryl Virostko segera mendayung papan luncur air untuk menyelamatkan keluarga tersebut.
“Apabila saya melihat bot itu bergerak ke arah ombak besar, saya tahu mereka akan tenggelam dan saya bergegas membantu menyelamatkan keluarga itu.
“Sukar dipercayai, beberapa kanak-kanak tercampak keluar dari bot,” kata Virostko.
Beliau menambah, ibu bapa kanak-kanak itu tidak memakai jaket keselamatan dan ia merupakan cabaran bagi peluncur ombak untuk menghalang mereka daripada tenggelam. – AGENSI














