KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah di Jelawat dekat Bachok pada minggu lalu.
Tertuduh, Nik Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di PPS sebuah sekolah di Jelawat, Bachok dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 26 November lalu.
Teetuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh mempunyai rekod kes rogol pada 2024 yang ketika ini sedang dalam prosiding perbicaraan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 8 Disember ini untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dicekup selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan semasa mereka berlindung di sebuah PPS di Bachok di sini.
Menurut sumber, mangsa tidak mengenali suspek dan mereka hanya berbual-bual ketika berada di PPS berkenaan.
Sumber itu berkata, lelaki itu dipercayai mencabul mangsa sebelum remaja berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada ibunya.
“Ibu mangsa terus membuat laporan polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd. Ismail Jamaluddin berkata, suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan jenayah – KOSMO! ONLINE














